Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd, atau lebih dikenali sebagai Modenas ialah syarikat pengeluar motosikal nasional yang menghasilkan pelbagai model motosikal kecil 200cc untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Ibu pejabat dan kilangnya terletak di Gurun, Kedah, Malaysia.
Sejarah syarikat tersebut bermula pada tahun 1990-an. Selepas kejayaan syarikat automotif nasional PROTON, kerajaan telah merancang untuk melancarkan projek motosikal nasional. Modenas ditubuhkan pada 1995 dan majoriti sahamnya dipegang oleh Kawasaki, Nissho Iwai, Khazanah Holdings Berhad dan DRB-Hicom Berhad.
Pada umumnya, Modenas menghasilkan model motosikal bawah 250 cc. Kebanyakan modelnya terdiri daripada model skuter serta model motosikal moped (kapcai).
Modenas Kriss adalah model pertama yang dilancarkan oleh Modenas pada tahun 1996. Ia mula dipaparkan kepada umum semasa perarakan Hari Kebangsaan pada tahun 1996 dan mula dikeluarkan pada akhir tahun tersebut. Model asal hanya menggunakan brek gelendong, tetapi pada tahun 1999 model brek cakera hadapan telah dilancarkan, dikenali sebagai Kriss 2 (atau Kriss 115 Sports di sesetengah negara). Digerakkan oleh enjin 111 cc yang dibangunkan oleh Kawasaki, Modenas Kriss menjadi model motosikal paling laris di Malaysia.
Satu lagi varian Kriss iaitu Kriss SG dilancarkan pada tahun 2002. Walau bagaimanapun, tidak seperti varian Kriss yang lain, varian ini tidak begitu laris disebabkan oleh rekabentuknya yang agak ketinggalan zaman.
Semua varian Kriss menjalani perubahan kosmetik yang ketara pada tahun 2003 melibatkan lampu-lampu untuk memberi rekabentuk yang lebih baru dan lebih baik.
Pada Mac 2008, Modenas telah membentuk satu pasukan baru iaitu Modenas Yuzi Pachi Racing Team dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS Sprinta. Modenas selaku pengeluar motosikal nasional telah bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan Shahrul Yuzi Motosports Sdn Bhd, dan PACHI Motorsports. Penglibatan MODENAS dalam siri perlumbaan ini adalah bertujuan untuk mempromosikan motosikal 4 lejang Modenas.Pasukan ini akan menggunakan motosikal KRISS 110, yang pernah digunakan dalam siri kejuaraan pada dua tahun lepas dan KRISS 120, motosikal berkuasa 120cc yang pertama di Malaysia yang telah dilancarkan oleh MODENAS pada bulan Ogos 2007.
Modenas juga telah membentuk pasukan kilang sendiri pada April 2005 serta menaja beberapa pasukan yang menggunakan mesinnya dalan kejuaraan Malaysian Cub Prix, sebuah kejuaraan perlumbaan motosikal kapcai untuk berentap dengan mesin-mesin Yamahadan Suzuki. Kesemua pasukan menggunakan Modenas Kriss untuk kategori Wira dan Modenas Dinamik untuk kategori Expert.
Modenas juga pernah menyertai perlumbaan Grand Prix Motosikal melalui pasukan Modenas KR sebelum diambil alih oleh PROTON pada tahun 2001. Modenas membina motosikal 500 cc 3 silinder 2 lejang untuk pasukan tersebut.
No comments:
Post a Comment